Bola sepak adalah sukan yang menyeronokkan dan boleh mengurangkan stres kerja seharian. Akan tetapi, sukan bola sepak tidak lari daripada aspek keselamatan dan kecederaan.

Kekejangan otot atau muscle cramps adalah salah satu kecederaan yang biasa berlaku di kalangan pemain bola sepak samada pemain amatur ataupun pemain profesional. Ini kerap berlaku jika badan tidak biasa dengan persekitaran corak permainan yang selalu dimainkan. Misalnya, main bola petang-petang tak sama main bola ketika pertandingan.

Otot yang kejang perlu berhati-hati. Jika terus bermain atau berlaku terlalu cepat (kejang otot ketika larian) boleh menyebabkan otot koyak. Ini menambahkan tahap serius kecederaan dan terpaksa direhatkan untuk tempoh yang lama. Boleh menjadi satu kerugian masa kepada pasukan jika masih perlawanan liga.

Ada lapan faktor utama yang menyebabkan kecederaan kekejangan otot.

Perlawanan Intensiti Tinggi

Ini selalu berlaku pada perlawanan peringkat tertinggi. Biasanya ketika perlawanan akhir atau perlawanan penting. Perlawanan sebegini, corak permainan berintensiti tinggi atau corak pantas kerap digunapakai untuk memecahkan blok pertahanan lawan.

Apabila intensiti tinggi bermaksud pemain akan bergerak atau berlari lebih pantas daripada kebiasaan corak permainan. Badan pemain tidak biasa dengan keadaan tersebut. Ini lebih menjadi serius jika tiada satu pun latihan intensiti tinggi atau warm up bola berintensiti tinggi diamalkan sebelum perlawanan.

Otot Tidak Warm Up Sepenuhnya

Kekurangan aktiviti stretching atau urutan normal sebelum perlawanan juga boleh menyebabkan otot kejang.

Warm up ada dua jenis iaitu secara statik dan secara dinamik. Rata-rata, pemain liga amatur hanya melakukan warm up secara statik iaitu aktiviti regangan badan dan kaki secara berdiri tetap di satu tempat sahaja. Ini bagus tapi tidak kena dengan sukan bola sepak di mana dalam bola sepak, pemain akan bergerak selama 90 minit.

Warm up secara dinamik iaitu disertakan dengan larian bertempo, laju dan perlahan, menggunakan bola, ada lompatan sederhana dan pelbagai lagi. Elemen utama adalah warm up dilakukan dengan fizikal badan bergerak.

Ini penting supaya otot mencapai tahap optimum dengan suhu dan elastik (keanjalan otot).

Cuaca Panas & Tiada Angin

Faktor cuaca yang menyebabkan keadaan padang panas dan bahang adalah salah satu faktor menyumbang kepada kecederaan otot. Bertambah rumit, jika tiada angin yang boleh meredakan suhu di padang.

Apabila suhu padang terlalu panas ditambah dengan aktiviti pergerakan yang banyak, badan akan berpeluh secara banyak dan konsisten. Peluh-peluh ini akan mengeluarkan sodium dan elektrolit daripada badan. Dua elemen ini (sodium dan eletrolit) amat penting untuk otot bergerak.

Jika badan mempunyai tahap sodium yang rendah, secara langsung menyebabkan otak kejang lebih mudah. Cari minuman bersodium dan elektrolit, jika keadaan pemain berpeluh daripada kebiasaan. Bukannya menghidangkan air oren yang manis atau air sirap semata-mata.

Tidak Cukup Air Dalam Badan

Badan manusia mengandungi lebih 70 peratus air. Fungsi air amat penting untuk badan berfungsi pada tahap terbaik. Oleh itu, pemain perlu memastikan air dalam badan mencukupi. Pemain perlu dalam keadaan hidrasi yang optimum.

Sebaliknya, jika kurang air dalam badan menyebabkan masalah otot kejang.

Pemain digalakkan minum air yang banyak sehari sebelum perlawanan. Pemain perlu memeriksa warna air kencing, jika tidak kuning dan jernih. Ini memberi gambaran bahawa air dalam badan mencukupi.

Pihak pengurusan pemain, perlulah sentiasa melengkapi minuman yang bersodium dan makanan berpotassium sepanjang hari perlawanan. Dua benda ini penting kepada otot.

Pemain juga perlu diingati supaya sentiasa minum air setiap 20 minit untuk kekal hidrasi sepanjang perlawanan. Anda boleh lihat di kaca televisyen, pemain profesional akan cuba minum air dari mana-mana sumber (termasuk pihak lawan). Ada peluang untuk minum air ketika permainan diberhentikan sementara, mereka bergegas ke tepi padang mendapatkan air.

Kurang Rehat atau Tidur Mencukupi Sehari Sebelum Perlawanan

Tidur adalah proses penting dalam penjagaan kesihatan. Tidur juga adalah perkara penting perlu diambil berat oleh setiap pemain.

Tidur membantu sel-sel dalam badan untuk dibaikpulih selepas aktiviti latihan atau kerja seharian. Tidur juga membantu sel-sel badan rehat dengan sepenuhnya untuk menempuh hari keesokkannya. Badan yang tidak rehat secukupnya, bermaksud badan anda terdedah dengan risiko kecederaan.

Tidur yang baik adalah bermula pada pukul 10 malam. Pastikan bilik dalam keadaan yang betul-betul gelap. Tiada lampu gajet sekalipun. Waktu ini, hormon-hormon akan dirembeskan yang membantu proses membaik pulih otot.

Stoking Yang Terlalu Ketat & Pemakaian Tape atau Bandage

Otot sentiasa memerlukan pengaliran darah keluar dan masuk yang baik untuk kekal optimum terbaik. Darah ini akan membawa oksigen untuk disalurkan ke otot-otot.

Kesilapan pemain adalah menggunakan stoking yang terlalu ketat atas alasan untuk rasa ‘grip’ dan ‘firm’ sepanjang perlawanan adalah perkara yang salah.

Stoking ketat akan mengurangkan pengaliran darah ke otot sekaligus menyebabkan kekejangan otot. Satu perkara lagi, pemain yang suka mengenakan tape atau bandage di kaki. Jika dibuat dengan ketat, pengaliran darah akan tersekat dan oksigen tidak capai ke otot.

Pengambilan Kafein

Minuman berkafein seringkali digambarkan dengan kopi. Selain kopi, teh termasuklah teh hijau, minuman bertenaga yang mengandungi kafein perlu dielakkan pada hari perlawanan.

Kandungan kafein akan menyebabkan pemain kencing secara kerap. Ini bermaksud, air dalam badan dipaksa keluar. Proses ini menyebabkan badan mengalami kekurangan air atau dehidrasi. Berbalik kepada poin di atas, badan yang tidak mempunyai air mencukupi boleh menyebabkan otot kejang.

Elakkan minuman berkafein pada hari perlawanan.

Kecederaan Lama Yang Tidak Dirawat

Ini selalu berlaku di peringkat bola sepak amatur. Ramai pemain memandang isu kecederaan otot bukan perkara serius. Jika sebelum ini sudah ada otot koyak, dan tidak dirawat dengan baik, tidak mustahil kekejangan otot akan berlaku sekali lagi pada masa akan datang.

 

Artikel ini disumbangkan oleh Coach Adib Yazid. Beliau sudah mempunyai sijil kejurulatihan Lesen D FAM dan diiktiraf oleh AFC dan sedang menghabiskan sesi kejurulatihan Lesen C. Sekarang beliau sedang membawa pasukan OCFC (Orchid City Football Club) yang baru sahaja memenangi juara Plate TDSL Ardence Arena 2018. Juga sedang menimba pengalaman membawa pasukan grassroot bersama First Eleven FC.

Close Menu