Bola sepak telah berevolusi secara menyeluruh seiring dengan perkembangan teknologi dunia. Oleh itu, jurulatih perlu sentiasa melengkapkan diri dengan secara konsisten berterusan mendapatkan info serta ilmu pengetahuan terkini dalam bidang kejurulatihan bola sepak.

Perbezaan ini dapat dilihat mana-mana liga besar dunia, kala ini sudah ada kelab besar kategori Divisyen 1 memberi kepercayaan kepada jurulatih muda.

Secara amnya, ilmu bola sepak sentiasa berubah dari aspek taktikal, formasi, cara meningkatkan kecergasan pemain, teknologi mengajar dan juga evolusi pemakanan. Setiap jurulatih wajar berubah sejajar dengan perkembangan dan evolusi bola sepak.

Pada kali ini, kupasan saya lebih kepada evolusi mengendalikan sesi latihan. Dahulunya, sesi latihan akan diakhiri dengan bermain bola sepak dengan menekankan poin-poin kejurulatihan.

Small Sided Games atau sinonimnya disebut SSG di kalangan jurulatih, juga mengalami evolusi. Jurulatih hari ini perlu mengetahui apa poin belajar yang cuba disampaikan dalam sesi latihan SSG, samada permainan 1v1, 2v2, 4v4 dan juga 7v7. Bagi permainan 7v7, biasanya akan diterapkan sekali penjaga gol yang aktif.

Kali ini saya menghuraikan kepentingan small sided games secara terperinci.

 

#1. SSG membantu Memperbaiki Teknikal Pemain

Teknikal dalam bola sepak bermaksud kebolehan seorang individu iaitu pemain mengawal bola atau menggerakan bola (termaksud menanduk, menendang dan menerima). Maksud SSG boleh memperbaiki teknikal pemain, saya pecahkan lagi kepada 4 bahagian kecil.

 

a. Teknikal – Kemahiran Menggelecek Individu 

Apabila bercerita tentang situasi 1v1, kemahiran yang boleh ditunjukkan oleh jurulatih adalah dari segi kemahiran menggelecek bola. Jurulatih boleh lihat bagaimana pemain tersebut mahu melepasi pemain lawan dengan menggelecek. Kemahiran ini secara mudah boleh diperbaiki hanya pada situasi 1v1 ketika perlawanan.

Poin kejurulatihan utama ketika ini adalah ‘body feint’ atau posisi badan. Perkara lain adalah pace atau kelajuan pemain apabila hendak berhadapan dengan pemain lawan dan disusuli dengan menggelecek.

SSG 1v1 juga bagus untuk jurulatih menerangkan atau memberi tunjuk ajar tentang teknik bertahan. Jurulatih boleh menerangkan aspek kedudukan badan, berdiri dengan hujung jari (untuk senang membuat pergerakan), kesabaran dan fokus mata pergerakan bola.

 

b. Teknikal – Kemahiran Bertahan

SSG 2v2 adalah tentang memperbaiki aspek pertahanan. Situasi ini lebih mudah kepada jurulatih untuk menerangkan dan memberi tunjuk ajar tetnang poin kejurulatihan.

Jurulatih boleh melabelkan 2 pemain sebagai first defender dan second defender apabila kehilangan bola. Jurulatih perlu menerangkan tugas setiap pertahanan. Ketika ini juga, jurulatih boleh memperbaiki aspek kedudukan badan pemain ketika bertahan, menggalakkan untuk sentiasa berkomunikasi dan situasi yang sesuai untuk merampas bola secara agresif.

 

c. Teknikal – Kemahiran Membuat Hantaran Kemas

Biasanya, kemahiran membuat hantaran baik boleh dilihat pada permainan SSG 4v4. Situasi ini, jurulatih perlu lihat dan memfokuskan pada hantaran yang dilakukan. Perkara perlu diterapkan adalah arah bola dan hantaran kurang berisiko. Aspek yang boleh diperbaiki adalah kelajuan hantaran, ketepatan dan kebijaksanaan menghantar bola ke ruang kosong.

Apabila melibatkan hantaran, sesi SSG 4v4 boleh memperbaiki aspek menerima hantaran bola atau ‘first touch’. Jurulatih perlu menekan kepada pemain dari segi kedudukan badan ketika menerima bola, kusyen dan kelembutan menampan bola dari pihak lawan dan kebijaksanaan menggerakkan bola sepak menerima bola.

Saya menggemari sesi 4v4 kerana banyak elemen teknikal boleh diperbaiki. Jurulatih perlu sentiasa fokus dan peka menilai kelemahan dan memperbetulkan kesalahan yang dilakukan pemain.

 

#2. SSG membantu Meningkatkan Stamina & Daya Tahan Pemain

Sesi latihan boleh dilakukan dalam keadaan berintensiti rendah atau berintensiti tinggi. Saya lebih menggemari corak atau sesi latihan yang berintensiti tinggi. SSG adalah solusi kepada jurulatih yang suka melihat pemain bergerak pantas.

SSG kebiasaannya dimainkan dalam ruang yang sempit dan kecil, biasanya dalam jarak 30 kaki x 40 kaki . Jika bola sepak dimainkan walaupun 5 minit tanpa henti, kita dapat lihat pergerakan pemain lebih pantas. Ini kerana ruang sempit memberi tekanan kepada pemain untuk tidak hilang bola.

Ketika sesi ini, jurulatih boleh lihat stamina pemain samada menepati tahap yang dimahukan atau tidak. Cuma sebagai jurulatih jangan bimbang tentang tahap stamina permainan masih rendah. Sesi SSG dilakukan secara kerap, anda boleh lihat perubahan stamina pemain dari hari ke hari. Malahan, stamina dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama pemain seronok bermain bola sepak.

 

#3. SSG membantu Meningkatkan Keyakinan Membuat Keputusan (Decision Making)

Sesi 1v1, 2v2 dan 4v4 boleh saya katakan lebih kepada melihat aspek teknikal pemain. SSG juga ada variasi 5v5 atau 7v7 dimana ini lebih mirip kepada situasi dalam perlawanan bola sepak sebenar. Ini yang selalu disebut sebagai ‘game conditioning’.

Apabila SSG dimainkan secara 5v5 atau 7v7, banyak aspek boleh diperbaiki. Ini termasuklah aspek bertahan, aspek serangan, teknikal seperti menggelecek, membuat hantaran kepada pemain atau ruang, galakan untuk sentiasa membuat komunikasi sesama pemain dan aspek-aspek kejurulatihan yang lain.

Saya menasihatkan tidak semua perkara perlu dibaiki dalam satu sesi SSG. Jika hari ini tema lebih kepada aspek bertahan, lebih baik tidak mencampur adukkan dengan aspek kejurulatihan yang lain.

Dalam SSG 4v4, 5v5 dan 7v7, jika jurulatih memilih tema serangan pada hari tersebut, jurulatih boleh menekankan cara efektif seorang pemain mempunyai pilihan untuk melakukan hantaran. Boleh menekankan aspek one-touch atau two-touch. Perkara lain boleh diperbetulkan adalah kawalan bola atau ball movement dan menggelecek.

Apabila jurulatih memilih tema kelajuan atau pace pada hari tersebut, jurulatih boleh memfokuskan tentang mencari ruang, agility dan pace. Aspek komunikasi sepanjang perlawanan perlu sentiasa diterapkan sepanjang sesi berlangsung.

 

Jurulatih Perlu Sentiasa Merancang & Fokus

SSG adalah sesi latihan yang perlu dirancang. Sebaik-baiknya sehari sebelum hadir ke padang latihan, jurulatih sudah mempunyai perancangan masa dan aspek yang mahu diperbaiki pada hari tersebut.

Jurulatih yang bagus perlu peka, focus dan cepat menilai keadaan sama ada untuk memperbetulkan, mengarah, menunjuk ajar supaya pemain yang ada dalam sesi latihan dapat informasi dan memperbaiki diri mereka.

Sebagai jurulatih ini adalah pesanan penting kepada jurulatih di luar sana. Jika anda ingin melakukan sesi latihan SSG dan fokus hari tersebut berkisarkan tentang bertahan, maka segala poin kejurulatihan tentang bertahan sahaja yang anda perlu terangkan dan betulkan.

Jangan sesekali campur aduk aspek bertahan dan menyerang dalam satu sesi SSG. Sesi ini akan menambahkan kebingungan dan kecelaruan pembelajaran kepada pemain-pemain. Bila ini berlaku, sesi ini tidak memberi impak yang maksimum dan tidak mendatangkan hasil yang berkesan. Jika mahu lakukan poin tentang serangan anda perlu lakukan pada sesi yang lain atau pada hari yang lain.

Jurulatih perlu peka melihat kesilapan. Setiap kesilapan perlu dibetulkan. Jurulatih yang dapat memperbetulkan kesilapan dengan efektif dan berkesan kepada pemain adalah satu bonus kepada anda. Tidak hanya menjerit atau memarahi kesilapan pemain tetapi berupaya menunjuk ajar dan memperbetulkan apa yang salah supaya pemain dapat ilmu dan pengetahuan dan pemain itu sentiasa kearah yang lebih baik

Seperti kata mentor saya dalam kejurulatihan;

“Keupayaan pemain itu dapat dilihat hasilnya bukan pada masa ini (sekarang). Anda akan nampak dalam satu jangka masa akan datang pada tahap permainan nya”

 

Artikel ini disumbangkan oleh Coach Ibrahim Hashim. Beliau sudah mempunyai sijil kejurulatihan lesen C FAM dan diiktiraf oleh AFC. Sekarang beliau sedang membawa pasukan ZXiV yang baru sahaja memenangi juara Liga Klang Valley (Klang Valley League) Ardence Arena 2018 dan telah mengesahkan tempat ke Selangor Champions League 2018. 

Close Menu