Skil Mentaliti Yang Perlu Ada Pada Setiap Pemain Pilihan Jurulatih

Perkara paling pening bagi seorang jurulatih adalah mencari pemain yang berkualiti. Bola sepak moden memerlukan pemain kualiti dari segi teknikal bermain bola sepak dan mentaliti yang baik. Kualiti pemain terbaik merangkumi aspek dari kepala hinggalah apabila bola berada di kaki.

Skil mentaliti juga diambil kira dalam pemilihan pemain. Malah ada jurulatih mencari kualiti mentaliti terlebih dahulu berbanding teknikaliti bermain bola sepak. Ini kerana skil mentaliti ini mengambil masa yang lama untuk dibentuk. Jurulatih sebegini percaya skil teknikal boleh dibentuk melalui siri latihan berbanding skil mentaliti dimana proses pembentukan melalui siri pengalaman bermain yang lama.

Di sini saya menggariskan beberapa kualiti skil mentaliti yang dicari dikalangan pemain. Ada tujuh skil mentaliti menjadi garis panduan.

 

#1. Komunikasi (communication) antara pemain di atas padang

Bola sepak adalah sukan kelompok yang dimainkan oleh 11 orang dalam pasukan. Oleh itu, banyak pergerakan rawak boleh berlaku dikalangan 11 pemain ini. Bagaimana hendak memahami atau mahu sesuaikan diri dengan cepat dalam pasukan?

Kuncinya, komunikasi!

Apabila anda baru sahaja mengumpulkan 11 pemain, anda akan dapat lihat pemain ini akan senyap dan membisu bermain bola sepak. Masing-masing seperti sudah memahami corak permainan walhal masih berterabur.

Jika anda membuat sesi pemilihan pemain, carilah pemain yang lantang berkomunikasi atas padang. Hati-hati pilih pemain yang banyak bersuara atas padang. Pastikan suara dilontarkan adalah tentang arahan bermain bola sepak seperti ‘turun’, ‘stay’, ‘press’ atau ‘run’. Bukan carutan atau makian kepada kawan sepasukan. Pemain sebegini boleh menjadi racun dalam pasukan.

 

#2. Disiplin (discipline) mengikut arahan taktikal pasukan

Pemain yang disiplin adalah jenis pemain yang menjadi kegemaran jurulatih. Kalau bermain di liga sosial, pemain sebegini agak sukar untuk dicari atau dilatih. Taktikal jurulatih adalah tentang strategi 11 orang pemain. Jika seorang pemain gagal mengikut arahan, bermakna taktikal sebuah pasukan itu boleh menemui kegagalan.

Bagaimana nak mengetahui pemain tersebut pemain yang berdisiplin?

Jurulatih perlu ada satu set peraturan. Misalnya, saya suka membuat latihan hantaran two-touch. Apabila saya mengendalikan sesi small sided game (SSG), saya akan ulang perkara yang sama – two touch. Jika pemain masih melakukan luar daripada apa yang saya arahkan, itu memberi tanda bahawa pemain tersebut sukar mengikut arahan anda pada hari perlawanan.

Ada banyak lagi cara mengetahui tahap disiplin. Contohnya, anda sebagai jurulatih sudah memberitahu latihan pada pukul 7.30 pagi di atas padang siap dengan pakaian lengkap dan sudah melakukan sesi warm-up. Kalau pemain tersebut hadir pukul 7.30 pagi tetapi masih terhegeh-hegeh memakai stoking, anda sebagai jurulatih tahu apa pilihan pemain yang ada.

 

#3. Kebijaksanaan (intelligence) memahami permainan semasa

Menurut Johan Cruyff, bola sepak perlu dimainkan menggunakan kepala dan kaki hanya membantu bermain dengan baik. Maksudnya di sini, bola sepak adalah sukan memerlukan minda bijaksana untuk bermain. Bola sepak bukan sukan semata-mata tentang skil bola sepak di kaki.

Pernah dengar ayat ‘boleh membaca permainan’? Ini adalah merujuk bagaimana seorang pemain memahami situasi permainan 2-3 langkah ke hadapan. Pemain sebegini seolah-olah boleh meramal apa berlaku dalam perlawanan jika bola berada di kawasan-kawasan tertentu. Apabila boleh membaca perlawanan, pemain sudah boleh tahu posisi mana perlu beliau berada.

Mengenalpasti kebijaksanaan pemain adalah perkara amat sukar sekali. Ini boleh diketahui dengan melihat pengalaman permainan yang pernah dilalui oleh pemain tersebut. Ada jurulatih berpendapat, pemain yang menerima pendidikan tinggi ada mempunyai intelligence bola sepak yang baik berbanding dengan dengan pemain yang hanya di peringkat sekolah menengah sahaja. Apa-apa pun ini tiada kajian sebenar dilakukan.

Romelo Lukaku dan Juan Mata boleh dikatakan antara pemain yang mempunyai intelligence yang tinggi di dalam padang dan di luar padang.

 

#4. Visi (vision) dan kesedaran (awareness) perubahan permainan

Visi adalah tentang kebolehan pemain melihat ruang atau pemain apabila hendak melakukan hantaran. Pemain sebegini boleh melihat pemain yang sedang buat larian mencari ruang dan boleh melakukan hantaran tepat kepada pemain tersebut.

Kebolehan ini juga dikaitrapat dengan kesedaran pemain tinggi. Maksud kesedaran adalah pemain tersebut peka dengan perubahan permainan dari segi tempo dan pergerakan pemain. Pemain sebegini mempunyai fokus setajam laser.

Ini juga boleh diperhatikan melalui sesi-sesi latihan hantaran jauh atau dalam perlawanan. Sehingga kini, pemain yang mempunyai vision yang sangat hebat adalah Paul Scholes.

 

#5. Ketenangan (composure) emosi sepanjang perlawanan

Situasi dalam padang tidak sama sepanjang 90 minit masa berlalu. Ada waktu biasa-biasa dan ada waktu kritikal (pasukan lawan terus menerus mengasak). Pemain yang baik adalah tenang sepanjang perlawanan dan paling penting tidak mudah menggelabah apabila dalam situasi yang sangat tertekan.

Sebagai pemain, apabila diasak secara teruk pemain boleh menjadi menggelabah. Dalam situasi tak tentu hala, jika pemain tidak tenang, pemain tersebut mempunyai peratusan tinggi untuk melakukan kesilapan.

Ketenangan pemain juga berkaitan dengan pengalaman pemain dalam arena bola sepak. Pemain yang sudah bermain di tahap tertinggi seperti Liga Super mempunyai ketenangan berbeza berbanding pemain yang baru kali pertama melangkah masuk ke Liga Perdana.

 

#6. Kepimpinan (leadership) dalam pasukan

Pemimpin dalam padang adalah pemain yang sudah tahu semua orang akan melakukan kesilapan dan sama-sama berpesan antara satu sama lain supaya kurang melakukan silap.

Kepimpinan bukan sahaja terletak di atas bahu kapten atau pembantu kapten. Sikap kepimpinan perlu ada pada setiap pemain. Antara ciri yang ada pada pemimpin adalah perasaan memikul tanggungjawab. Semua pemain perlu ada tanggungjawab atas kesilapan yang dilakukannya. Kapten adalah suara daripada 11 orang pemimpin.

 

#7. Kebolehan membuat keputusan (decision making) yang betul

Bola sepak hari ini dimainkan dengan tempo pantas dan cepat. Oleh itu, pemain hari ini terpaksa mempunyai kebolehan decision making yang betul, pantas dan tepat.

Adakah sekarang perlu berlari? Adakah sekarang perlu buat hantaran? Adakah perlu melakukan bentesan? – Ini semua perkara yang sedang bermain dalam fikiran pemain. Persoalannya, adakah keputusan yang diambil itu betul?

Sama seperti aspek mentaliti yang lain, kebolehan decision making boleh digilap berdasarkan pengalaman dan minit bermain dalam pasukan. Pemain tahap antarabangsa juga melakukan kesilapan dalam membuat keputusan yang betul.

 

Artikel ini disumbangkan oleh Coach Adib Yazid. Beliau sudah mempunyai sijil kejurulatihan lesen D FAM dan diiktiraf oleh AFC. Sekarang beliau sedang membawa pasukan OCFC (Orchid City Football Club) yang baru sahaja memenangi juara Plate TDSL Ardence Arena 2018. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: