Adalah kebanggaan mempunyai sebuah pasukan bola sepak yang dihormati oleh ramai orang. Perlu tahu, lumrah alam untuk rasa dihormati kita perlu belajar untuk menghormati orang lain terlebih dahulu. Ini juga boleh diaplikasikan dalam pembinaan sebuah pasukan bola sepak.

Satu kepuasan bagi seorang jurulatih bola sepak mempunyai sebuah pasukan, yang apabila pihak lawan akan menyebut pasukan itu penuh etika dan mempunyai kelas tersendiri.

Bagaimana mahu membina sebuah pasukan yang dihormati? Ini adalah cetusan pengalaman coach berpengalaman, Coach Ibrahim Hashim akan mengupas tentang sikap hormat-menghormati dalam bola sepak.

 

Konsep Tiga H (Hormat, Hormat, Hormat)

Menurut Coach Ibrahim Hashim, beliau sendiri mengamalkan konsep 3H. Konsep ini adalah cetusan peribadi dan idea yang beliau mahu diterapkan dalam mana-mana pasukan bola sepak yang dipimpin. Beliau juga mengharapkan ianya boleh membawa angin perubahan dalam bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Oleh itu, bermula dengan impian besar beliau merasakan ianya perlu mula dari bawah. Setiap kelab atau pasukan yang dipimpin samada peringkat bawah umur dan peringkat liga sosial, perlu memahami konsep ini. Beliau kerap mengingatkan pemain sebelum perlawanan tentang konsep ini tidak kira siapa lawan dan pasukan mana yang mereka bakal lawan.

Apakah sebenarnya elemen yang ada dalam 3H ini?

 

 

H Pertama: Hormat Pegawai Perlawanan

Bola sepak secara asasnya dimainkan oleh 11 orang pemain melawan 11 orang pemain. Ini yang dilihat pada sebuah perlawanan. Hakikatnya, perlawanan ini perlu diadili. Tugas pengadilan adalah pegawai perlawanan yang terdiri daripada pengadil dan penjaga garisan.

Coach Ibrahim menerangkan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang langsung tidak meletakkan rasa hormat kepada pegawai perlawanan. Beliau sering berpesan kepada pemain supaya jangan mengerumuni (berkerumun dalam bulatan) untuk membantah segala keputusan pengadil.

Pada pandangan beliau, pengadil dan penjaga garisan adalah manusia. Kita sebagai jurulatih perlu didik setiap pemain meletakkan rasa hormat dan membiarkan pengadil melakukan kerja-kerja mereka (tugas pengadilan). Pemain perlu bertindak sebagai pemain, bukan sebagai kaki buli atau gengster atas padang.

Ada waktu keputusan pengadilan tidak memihak kepada pasukan sendiri. Kita perlu faham, pengadil hari ini telah melalui sesi pentauliahan. Mereka lebih jelas arif dalam situasi pengadilan.

Pengadil itu juga manusia yang mana fitrah manusia itu sendiri tidak lari daripada melakukan kesilapan. Jika benar pengadil perlawanan melakukan kesilapan, sebagai pemain tidak perlu untuk membantah dengan kata-kata makian, kata-kata kesat dan amukan yang tidak tentu hala.

Pengadil ‘bekerja’ untuk memastikan perlawanan dimainkan secara adil dan saksama. Apabila kita sebagai pemain dan jurulatih memudahkan tugas seorang pengadil, secara tak langsung akan memudahkan ‘urusan’ atas padang. Jika tidak pun, boleh berkawan dengan pengadil. Tak perlu bermasam muka apabila permainan sudah tamat kelak.

 

H Kedua: Hormat Pasukan Lawan

Hormat pasukan selalu disalah ertikan sebagai memberi ‘muka’ kepada pihak lawan. Maksud hormat pasukan lawan bagi pandangan Coach Ibrahim Hashim adalah tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan pergaduhan.

Jika pemain mencetuskan pergaduhan, bermaksud pemain tersebut tidak layak bermain bola sepak. Kita bermain bola sepak, kena ada gaya main bola sepak. Jika provokasi terjahan kasar, niat mahu mencederakan, provokasi mulut, tolak menolak dan sebagainya boleh mengundang kad kuning atau kad merah. Jika ini berlaku, ini akan merencatkan perjalanan pasukan dalam liga atau piala yang sedang berlangsung.

Bayangkan mempunyai pemain hebat tapi kerap dilayangkan kad merah, ini agak merugikan slot pemain.

Beliau kerap menerapkan nilai yang baik dalam bola sepak walaupun status kejohanan peringkat sosial. Jika tidak dapat memenangi  bola daripada pihak lawan,  ini adalah bukan disebabkan pemain lawan itu sangat hebat. Mentaliti ini perlu dibuang. Mentaliti ini perlu ditukar. Gagal memenangi bola ini disebabkan pemain sendiri tidak berusaha memberikan yang terbaik. Pemain lawan tahu kelemahan sendiri.

Coach Ibrahim memberi contoh bahawa jika pemain lawan dapat memintas dengan mudah, pemain tersebut mempunyai masalah dari segi posisi (positional play) dan lewat untuk pusing (turning). Pemain ini mempunyai masalah daripada kepantasan (agility). Tidak perlu untuk melakukan terjahan (tackle) yang boleh mengundang kemarahan. Kawal emosi. Tak perlu ada niat untuk mencederakan pemain lawan.

Bola sepak adalah sukan yang menyeronokkan. Oleh itu perlu dimainkan dengan seronok. Padang bola adalah ruang yang seronok untuk bermain bola. Perlu ingat, padang bola bukan tempat berperang atau bergusti.

Coach Ibrahim menerangkan sebagai jurulatih perkara yang sering dimahukan adalah gaya permainan yang seronok dan bagus. Begitu juga dengan penyokong. Mereka juga mahukan gaya permainan yang seronok dilihat. Sikap pemain lawan yang kasar, itu adalah luar bidang kuasa seorang jurulatih. Jurulatih hanya boleh mengawal pemain-pemain dibawah kendalian sendiri. Selebihnya, biarkan pengadil tugas pengadilan jika pemain lawan kerap melakukan tindakan kasar.

Biarlah pasukan bola sepak anda dikenali menang kerana bermain bola sepak, bukan kerana bergusti atau provokasi melampau.

 

H Ketiga: Hormat Pemain Pasukan Anda Sendiri

Walaupun kedengaran macam pelik, ya, anda perlu hormat pemain yang ada dalam pasukan sendiri. Walaupun penyerang anda adalah kawan anda atau saudara anda sekalipun, perasaan hormat perlu ada.

Maksud hormat di sini, adalah lebih mudah dalam ertikata kerjasama yang baik dalam pasukan. Bola sepak padang adalah sukan yang dimainkan oleh 11 orang pemain. Ini adalah sukan berkumpulan, bukan persendirian. Ini adalah sukan kolektif. Oleh itu, pesan kepada pemain jangan bermain secara individu.

Sikap sama-sama ‘bekerja’ dan sama-sama menolong adalah elemen utama dalam pembentukan sebuah pasukan yang disegani dan dihormati.

Dalam pasukan bola sepak, mungkin ada pemain yang lebih bersuara atau dominan dalam percakapan. Kadangkala arahan diberikan dalam nada herdikan atau amukan. Situasi begini, akan menyebabkan hubungan sesama pemain menjadi kendur dan mencetuskan ketegangan. Jika ada pemain begini dalam pasukan, nasihatkan supaya beri arahan dalam gaya untuk mendidik (mengajar).

Tugas jurulatih di sini merangkumi untuk memberikan motivasi sesama pemain dan menggalakkan mereka bermain dalam pasukan. Seperti dalam filem Ola Bola, apabila kita menang, kita menang sama-sama. Apabila kita kalah, kita kalah sama-sama. Setiap pemain dalam pasukan pun rasa-rasa penat.

Sikap mempercayai antara satu sama lain dikalangan pemain perlu digalakkan. Setiap pemain perlu tahu kelebihan dan kelemahan pemain lain atas padang. Jurulatih perlu sokong proses ini, cukup dengan memantau dari luar padang.

 

Keharmonian Sebuah Pasukan

Konsep 3H adalah sebuah konsep keharmonian sesama manusia dalam sebuah pasukan bola sepak. Konsep ini bukan syarat wajib untuk menang, tapi akan membina identiti sebuah pasukan bola sepak yang disegani.

Bola sepak adalah sukan tentang hubungan ramai manusia. Ini adalah sukan rakyat. Ini adalah sukan komuniti. Oleh itu, sukan bola sepak ini perlu dimainkan secara harmoni dan berhemah tanpa mengundang pergaduhan yang melampau. Semangat kesukanan perlu diterapkan pada tahap tertinggi, walaupun pasukan kita masih bermain diperingkat bawah lagi, liga sosial.

Paling penting, apabila bola sepak dimainkan dengan perasaan gembira seronok, barulah boleh membentuk sebuah pasukan penuh kegemilangan.

 

Artikel ini disumbangkan oleh Coach Ibrahim Hashim. Beliau sudah mempunyai sijil kejurulatihan lesen C FAM dan diiktiraf oleh AFC. Sekarang beliau sedang membawa pasukan ZXiV yang baru sahaja memenangi juara Liga Klang Valley (Klang Valley League) Ardence Arena 2018 dan telah mengesahkan tempat ke Selangor Champions League 2018. 

Close Menu