Apakah Yang Menjadikan Seseorang Itu Jurulatih Bola Sepak Yang Baik?

Bola sepak komuniti saban hari menjadi bualan ramai. Hari ini kita lihat banyak pasukan-pasukan bola sepak amatur bercambah dari hari ke hari. Pasukan bola sepak alumni, rakan kerja, rakan setempat dan macam-macam lagi. Oleh sebab ini juga, liga-liga bola sepak komuniti sudah banyak.

Mempunyai pasukan bola sepak komuniti sahaja tidak mencukupi. Ada liga sudah menetapkan bahawa mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang jurulatih dalam pasukan. Jurulatih ini minima mempunyai lesen kejurulatihan D (juga disebut sebagai awalan).

Ada juga pasukan yang bersikap main ‘tangkap muat’, tidak membuat pemilihan jurulatih. Hanya sekadar beliau ada lesen kejurulatihan (walaupun tidak praktis), terus diambil sebagai jurulatih. Asalkan ada seseorang boleh menjerit memberi arahan dari tepi padang.

Persoalannya, bagaimana hendak tahu itu adalah seorang jurulatih yang bagus atau tidak?

Menurut jurulatih pasukan ZXiV, Coach Ibrahim Hashim telah menyenaraikan beberapa perkara yang menjadikan seorang jurulatih itu berkualiti dalam beberapa aspek. Walaupun jurulatih bola sepak, jika ingin menjadi seorang jurulatih yang baik perlu menguasai beberapa perkara lain.

Jurulatih Berkualiti

 

#1. Teknik Komunikasi Yang Baik & Senang Difahami

Apa yang difikirkan dalam kepala seorang jurulatih perlu diterjemahkan dengan mudah kepada seorang pemain. Seorang jurulatih perlu menyusun pemikiran dan pemahaman dan boleh disampaikan secara tepat tanpa perlu melalut. Paling penting segala yang disampaikan secara spesifik seperti yang dimahukan.

Selalu kita kerap dengar, ‘pemain telah terjemahkan mesej saya ketika di atas padang’. Ini bermaksud, pemain dalam pasukan telah diberikan mesej dan arahan yang jelas.

Perlu tahu, pemain bola sepak datang daripada pelbagai lapisan latar belakang akademik. Jika anda pernah menjadi jurulatih terbaik sebuah pasukan sekolah hebat di Malaysia, belum tentu anda boleh jadi jurulatih hebat di sebuah pasukan yang ceruk kampung.

Maksudnya di sini, anda perlu mempunyai skil komunikasi yang sesuai dengan keadaan pemain. Tambahan, permainan bola sepak moden hari ini sangat berintensiti tinggi. Dalam kemuncak permainan, jika memberi 10 arahan, bukan 10 arahan itu boleh diterima. Mungkin hanya 2-3 mesej sahaja boleh dihadam oleh pemain.

 

#2. Perlu Tahu Teknikal Bola Sepak Yang Betul

Ini normal, seorang jurulatih mempunyai naluri untuk mencari pemain yang terbaik dalam segala aspek teknikal bola sepak. Jika anda jurulatih di peringkat tinggi, dengan sumber kewangan yang besar mudah untuk mencari pemain diingini.

Tapi, bagaimana dengan jurulatih peringkat amatur atau liga sosial? Rata-rata pemain yang hadir bukan terbaik dari segala aspek.

Menurut Coach Ibrahim Hashim, seorang jurulatih itu perlu memahami keadaan setiap pemain di dalam pasukan. Jurulatih yang baik perlu mengenalpasti kelebihan dan kekurangan pemain beliau supaya dapat diperbaiki kelemahan sedia ada dan seterusnya meningkatkan kelebihan pemain ke tahap yang lebih tinggi.

Jurulatih perlu secara tepat melihat kelebihan dan menyarankan pemain memperbaiki kelemahan dan menyerlah kekuatan sedia ada untuk digunakan oleh pemain ketika didalam padang.

Kelemahan boleh diatasi dengan mempunyai sesi latihan.

 

#3. Peranan Seorang Guru / Cikgu

Jurulatih bola sepak perlu jadi seorang guru yang bagus.

Zaman belajar kita di sekolah, kita pun tak suka sangat kalau cikgu kita terlalu garang, bukan? Kita suka kalau cikgu yang ajar kita, mengajar dengan seronok. Ada mempunyai aktiviti tertentu. Adakalanya kita pun suka kalau cikgu bercerita.

Jurulatih dan guru / cikgu juga hampir sama dalam bola sepak.

Jurulatih perlu dan mesti tahu menyampaikan nasihat dan tunjuk ajar secara efektif supaya pemain dapat menerima dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh jurulatih ketika latihan. Jurulatih bertindak sebagai guru untuk menjadikan sesi latihan menjadi seronok dan pembelajaran pemain ditingkatkan.

Kalau jadi jurulatih tegas sepanjang satu musim, mungkin masalah pemain lari pula.

 

#4. Bijak dalam Hal Politik Pemain

Jangan terkejut! Sebagai seorang jurulatih, kena juga pandai main politik! Bola sepak moden hari ini bukan sekadar tentang bola sepak semata-mata. Walaupun anda seorang jurulatih bola sepak, segala keputusan perlu sesuai dengan keadaan untuk menjaga keharmonian diantara pemain, pengurusan kelab dan komuniti.

Apatah lagi, dalam kancah bola sepak komuniti, hubungan sesama pemain dan kelab perlu diambil teliti. Malah, menjaga hubungan termasuk dengan pengurusan liga contohnya pengadil dan tim pengurusan penganjur amat penting supaya memudahkan pasukan kelab mengharungi liga.

Menjadi ‘ahli politik’ ini penting supaya jurulatih dapat mencapai objektif yang dikehendaki tanpa perlu melukaan hati dan perasaan pihak yang berurusan dengan jurulatih.

Sebagai contoh, pengurusan kelab telah mempunyai ‘favouritism’ terhadap seorang pemain dan mahu pemain tersebut bermain untuk perlawanan seterusnya. Jurulatih tahu pemain tersebut bukanlah terbaik untuk taktikal ‘game plan’ yang bakal dimainkan, akan tetapi jurulatih kelab komuniti tidak sewenang-wenangnya menolak mentah-mentah permintaan itu. Jurulatih perlu bijak menangani, mungkin memberi sedikit minit perlawanan dan pada masa yang masa menunjukkan bukti bahawa pemain ini bukan pemain sesuai dengan ‘game plan’ anda.

 

#5. Berfikir Seperti Saintis

Kualiti seorang jurulatih juga boleh dilihat dengan mengolah dan melakukan ujikaji permainan supaya dapat mengoptimumkan prestasi pemain. Sebagai jurulatih, tugas utama adalah meletakkan pemain yang betul pada corak permainan yang betul. Barulah peningkatan prestasi pemain dapat dijangkakan dari masa ke semasa.

Pernah dengar, beberapa jurulatih ternama peringkat antarabangsa menyebut, “Kami dalam proses mengadaptasi corak permainan baru.” atau “Saya sedang buat ujikaji pemain untuk taktikal saya.”

Kalau peringkat liga komuniti menggunakan ayat yang sama, mungkin kedengaran agak ‘poyo’ atau mengada-ngada. Perlu ingat, prinsip yang sama juga dipakai walaupun anda jurulatih peringkat liga komuniti sekalipun.

Analisa terhadap situasi, statistik perlawanan, pemerhatian pemain dan pemantauan suasana perlawanan menyeluruh perlawanan, perlu ambil tahu. Ini perkara yang remeh bagi sesetengah jurulatih amatur. Jika terlalu sibuk memberi arahan atas padang, boleh gunakan khidmat jurulatih kedua atau pembantu jurulatih membuat analisa perlawanan. Antara analisa perlawanan diperlukan, hanya perkara asas seperti;

  • Hantaran yang sempurna (completed pass)
  • Dari hantaran, boleh tahu penguasaan bola (ball possession)
  • Kesilapan (fouls)
  • Sepakan percuma (free kick)
  • Sepak penjuru (corner kick)
  • Bilangan kad kuning dan kad merah (yellow & red card)
  • Penjaring gol dan pembantu (goal scorer & assistant)

Analisa ini perlu didokumentasi dengan baik supaya aktiviti pembaikan mutu permainan boleh dilaksanakan dengan merancang set latihan pada masa akan datang. Ada jurulatih menggunakan teknologi seperti rakaman kamera (samada guna telefon pintar atau GoPro) untuk merakamkan perlawanan. Ini juga satu perkara yang masih asing dalam kancah bola sepak komuniti.

 

#6. Gaya Seperti Artis

Jurulatih yang berseni adalah jurulatih yang bagus. Seorang jurulatih tidak boleh ‘rigid’ atau kekal hanya pada satu keadaan sahaja. Misalnya, hanya menggunakan formasi 4-4-2 untuk sepanjang perlawanan liga!

Tambahan daripada Coach Ibrahim, jurulatih hari ini kena mempunyai kreativiti mengubah pasukan dengan fleksibel. Ini  kerana dapat mengadaptasi perlawanan. Ada waktu pasukan berada dalam situasi sukar dan perlu buat beberapa perubahan taktikal perlawanan.

Bola sepak adalah sukan dimana keadaan yang sentiasa berubah-ubah. Sebaik-baiknya, transisi perubahan itu perlu dilakukan segera.

 

#7. Jadi role model seorang ayah.

Agak tidak keberatan, jurulatih perlu menjadi seorang ‘father figure’ atau bersikap seorang bapa kepada anak (pemain-pemain).

Hubungan pemain dan jurulatih, bukan seperti dalam tangga korporat dimana seorang pihak memberi arahan dan satu pihak perlu menjalankan arahan tanpa kompromi. Hubungan ini lebih kepada kemanusiaan dan perlu ada nilai perlu diterapkan seperti konsep hormat menghormati.

Jurulatih perlu hormat perasaan setiap individu yang ada dalam pasukan. Kalau kesilapan itu jelas dilakukan oleh pemain, adakalanya menegur secara keras secara terang-terangan boleh menyebabkan pemain hilang perasaan hormat terhadap jurulatih.

Jurulatih perlu mengawal emosi peribadi sepanjang perlawanan dan sepanjang liga dijalankan. Perlu ingat, rasa hormat itu perlu ditunjukkan terlebih dahulu barulah orang lain akan menghormati anda.

 

Pemain Yang Baik Memerlukan Bakat, Pasukan Yang Hebat Memerlukan Jurulatih Berkualiti

Walaupun sudah dinyatakan banyak perkara seorang jurulatih berkualiti, perkara teratas mengenai tugas jurulatih adalah minat dan kesungguhan. Sesiapa sahaja, termasuk pemain akan menggemari individu yang bekerja keras dan komited.

Sebenarnya untuk membina profil seorang jurulatih terbaik bukan dalam masa setahun dua. Ia memerlukan masa bertahun-tahun. Kesabaran menimba pengalaman amat penting dan jangan putus asa di pertengahan jalan.

Sekarang banyak pasukan memerlukan jurulatih yang bagus. Jika anda berminat untuk menjadi jurulatih, boleh libatkan diri secara ‘part time’ bersama pasukan amatur / pasukan bola sepak komuniti. Selepas itu anda boleh merancang mengambil Lesen D AFC / FAM, sebagai langkah besar pertama dalam dunia kejurulatihan.

Membangunkan bola sepak melalui kejurulatihan berkualiti amat penting demi pelan jangka masa panjang bola sepak negara.

 

Artikel ini disumbangkan oleh Coach Ibrahim Hashim. Beliau sudah mempunyai sijil kejurulatihan lesen C FAM dan diiktiraf oleh AFC. Sekarang beliau sedang membawa pasukan ZXiV yang baru sahaja memenangi juara Liga Klang Valley (Klang Valley League) Ardence Arena 2018 dan telah mengesahkan tempat ke Selangor Champions League 2018. 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s